Tatkala mentari mula berlabuh, burung pula pulang ke sarang, kemeriahan serta suara-suara riuh rendah peniaga dan pengunjung semakin kedengaran. Tidak menghiraukan keadaan tersebut, perlahan-perlahan dihamparkan sejadah sebagai kain alas untuk menunaikan tanggungjawab kepada maha pencipta. Di celah-celah kereta dan berlatarbelakangkan keriuhan suasana pasar malam, di situlah sebahagian peniaga-peniaga menunaikan kewajipan mereka meskipun keadaan kawasan tersebut kelihatan janggal dijadikan tempat bersolat
Bukan lokasinya sahaja yang menjadi masalah, namun bekalan air yang terhad juga menambah kesukaran kepada peniaga-peniaga berkenaan untuk menunaikan tuntutan agama. Apa yang menyedihkan, kebanyakan peniaga terpaksa menggunakan bekalan air yang dibawa di dalam botol untuk berwuduk. Sekali pandang, keadaan tersebut tidak ubah seperti berada di padang pasir memandangkan peniaga-peniaga berkenaan terpaksa berhemat ketika berwuduk dan seolah-olah bertayamum menggunakan air yang disapukan pada anggota badan.
Tidak cukup dengan itu, pastinya bersolat di dalam keadaan tersebut memerlukan fikiran yang amat fokus memandangkan bukan mudah untuk khusyuk bersolat di kawasan yang dipenuhi peniaga dan orang ramai yang sedang membeli-belah yang menimbulkan suasana bising. Apatah lagi bermacam-macam bau yang enak dan kurang enak bakal menggoda para peniaga yang bersolat di kawasan tersebut.
Bagi kaum lelaki, kebanyakan mereka memilih untuk solat berjemaah jauh daripada kawasan hiruk-pikuk pasar malam itu. Begitulah keadaan hampir 30 peniaga di Pasar Malam Bandar Puncak Alam yang mengalami kesukaran apabila pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) tidak menyediakan kemudahan surau berhampiran kawasan perniagaan mereka. Bukan itu sahaja, kemudahan tandas juga tiada dan mereka terpaksa ke stesen minyak berdekatan iaitu sejauh 200 meter semata-mata untuk 'melepaskan hajat'.
Walaupun pasar malam tersebut telah dibuka sejak beberapa tahun yang lalu, namun kemudahan berkenaan masih tidak ada walaupun kebanyakan peniaga-peniaga yang beroperasi di sini beragama Islam. Untuk bersolat pula, ruang jalan tar yang kosong dijadikan sebagai lantai surau yang berbumbungkan langit kerana tiada kemudahan surau disediakan walaupun rata-rata peniaga adalah beragama Islam.
(di petik dari Utusan Malaysia-19 Mac 2009)
berita susulan :
Usul ini telah di bawa ke tengah oleh ketua peniaga2 pasar malam dengan berjumpa pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).