Friday, April 3, 2009

makluman kepada pengurusan Gurney Plaza..

Kepada: Pihak Pengurusan,
Gurney Plaza, Persiaran Gurney,
10250 Pulau Pinang.
Tel: 04-2281111

Tuan,

Kami pelajar tahun akhir pengkhususan Antropologi dan Sosiologi dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia sedang menjalankan kajian berhubung dengan keadaan surau yang terdapat di Malaysia. Hasil daripada kajian kami mendapati surau di Gurney Plaza dalam keadaan kurang memuaskan. Keadaan surau di sini terlalu kotor. Tempat mengambil air sembahyang dipenuhi dengan kekotoran sehingga menyukarkan pengguna apabila ingin mengambil air sembahyang. Laluan untuk ke ruang solat juga kotor. Keadaan bilik solat pula tidak tersusun dengan kain telekung. Kami harap pihak tuan dapat mengambil lebih perhatian terhadap permasalahan ini. Kami amat berharap pihak tuan dapat memberi maklum balas kepada kami secepat yang mungkin melalui email zie1602@yahoo.com untuk mengetahui sama ada pihak tuan telah menerima aduan kami ini atau sebaliknya.
Kerjasama daripada pihak tuan amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih
Pelajar prihatin,
(Menjamin keprihatinan sejagat)

p/s: sehingga 2 April 2009 kami masih belum menerima apa-apa maklum balas daripada pihak berkenaan.

Thursday, April 2, 2009

email kepada pihak harian metro...

Kepada: razaliy@hmetro.com.my

Daripada: zie1602@yahoo.com


Salam,


Kami pelajar tahun akhir pengkhususan Antropologi dan Sosiologi dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia sedang menjalankan kajian mengenai keadaan surau/bilik sembahyang khususnya di sekitar Pulau Pinang. Kami ingin mengadu masalah berhubung dengan keadaan surau yang terletak di Prangin Mall,Penang. Lokasi surau di sini yang terletak di tempat letak kereta amat berbahaya kepada pengguna. Keadaannya yang gelap dan hanya terdapat kenderaan di sana membuatkan kami tertanya-tanya selamatkah tempat ini? Sesuaikah surau terletak di sini? Kami lihat surau di sini juga terlalu sempit sama ada surau lelaki dan surau perempuan. Lebih kurang 5 orang sahaja pengguna yang boleh memasuki ruang surau ini untuk satu-satu masa dan yang selebihnya terpaksa menunggu di luar pintu sehingga pengguna yang terdahulunya selesai solat. Keadaan ini boleh mendatangkan masalah apatah lagi kejadian yang tidak di ingini bila-bila masa sahaja boleh berlaku. Tempat mengambil air sembahyang juga dilihat tidak strategik kerana kedudukan tembok yang dibina yang memisahkan antara lelaki dan perempuan adalah rendah sehingga memberi kesukaran khususnya kepada pengguna perempuan yang ingin mengambil wuduk. Sebagai masyarakat Islam, kami terpanggil untuk menyuarakan komen tentang surau ini. Seperti yang sedia maklum, peranan daripada pihak media lebih mendapat perhatian daripda pihak berwajib. Harapan kami agar pihak media dapat membuat tinjauan ke tempat ini. Kami juga amat berharap maklum balas daripada pihak tuan berhubung dengan aduan kami ini dapat di salurkan kepada email kami di zie1602@yahoo.com bagi membolehkan kami memberikan makluman kepada rakan-rakan kami yang lain khusunya di blog tugasan kami. Pihak tuan boleh melayari blog kami di http://www.inspirasi216.blogspot.com untuk melihat keadaan surau di tempat lain. Kerjasama daripada pihak tuan amatlah kami hargai.

Sekian, terima kasih.


(sehingga pada 2 April 2009 aduan kami ini masih tidak mendapat maklum balas daripada pihak harian metro..)

Wednesday, April 1, 2009

sengsaranya tiada surau...

Tatkala mentari mula berlabuh, burung pula pulang ke sarang, kemeriahan serta suara-suara riuh rendah peniaga dan pengunjung semakin kedengaran. Tidak menghiraukan keadaan tersebut, perlahan-perlahan dihamparkan sejadah sebagai kain alas untuk menunaikan tanggungjawab kepada maha pencipta. Di celah-celah kereta dan berlatarbelakangkan keriuhan suasana pasar malam, di situlah sebahagian peniaga-peniaga menunaikan kewajipan mereka meskipun keadaan kawasan tersebut kelihatan janggal dijadikan tempat bersolat

Bukan lokasinya sahaja yang menjadi masalah, namun bekalan air yang terhad juga menambah kesukaran kepada peniaga-peniaga berkenaan untuk menunaikan tuntutan agama. Apa yang menyedihkan, kebanyakan peniaga terpaksa menggunakan bekalan air yang dibawa di dalam botol untuk berwuduk. Sekali pandang, keadaan tersebut tidak ubah seperti berada di padang pasir memandangkan peniaga-peniaga berkenaan terpaksa berhemat ketika berwuduk dan seolah-olah bertayamum menggunakan air yang disapukan pada anggota badan.

Tidak cukup dengan itu, pastinya bersolat di dalam keadaan tersebut memerlukan fikiran yang amat fokus memandangkan bukan mudah untuk khusyuk bersolat di kawasan yang dipenuhi peniaga dan orang ramai yang sedang membeli-belah yang menimbulkan suasana bising. Apatah lagi bermacam-macam bau yang enak dan kurang enak bakal menggoda para peniaga yang bersolat di kawasan tersebut.

Bagi kaum lelaki, kebanyakan mereka memilih untuk solat berjemaah jauh daripada kawasan hiruk-pikuk pasar malam itu. Begitulah keadaan hampir 30 peniaga di Pasar Malam Bandar Puncak Alam yang mengalami kesukaran apabila pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) tidak menyediakan kemudahan surau berhampiran kawasan perniagaan mereka. Bukan itu sahaja, kemudahan tandas juga tiada dan mereka terpaksa ke stesen minyak berdekatan iaitu sejauh 200 meter semata-mata untuk 'melepaskan hajat'.

Walaupun pasar malam tersebut telah dibuka sejak beberapa tahun yang lalu, namun kemudahan berkenaan masih tidak ada walaupun kebanyakan peniaga-peniaga yang beroperasi di sini beragama Islam. Untuk bersolat pula, ruang jalan tar yang kosong dijadikan sebagai lantai surau yang berbumbungkan langit kerana tiada kemudahan surau disediakan walaupun rata-rata peniaga adalah beragama Islam.

(di petik dari Utusan Malaysia-19 Mac 2009)
berita susulan :
Usul ini telah di bawa ke tengah oleh ketua peniaga2 pasar malam dengan berjumpa pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).